Thursday, September 2, 2010

KEMERDEKAAN DARI SIAPA?

Pendahuluan

Apabila tiba musim kemerdekaan satu peristiwa yang sering disebut-sebut dan dibangga-banggakan orang Melayu ialah peristiwa pembunuhan JWW Birch oleh Datuk Maharajalela dan kumpulannya di Pasir Salak, Perak. Inilah yang dikatakan lambang keberanian dan perjuangan orang-orang Melayu yang membenci British campur tangan dalam mencorakkan Tanah Melayu. Selain dari itu peristiwa Left. Adnan, Bukit Kepong dan Embun juga menjadi buah kebanggaan para pencinta kemerdekaan. Namun apakah jerih-perih calon-calon pejuang kemerdekaan ini benar-benar membawa kita kepada sebuah negara yang benar-benar merdeka? justeru Cikgu Hisham ingin mengajak para pembaca sekalian khasnya pencinta kemerdekaan Tanah Melayu untuk merenung dan memahami satu artikel dari sahabat saya dari Hizbut Tahrir malaysia iaitu Ustaz Ahmad Mustaffa. Mudah-mudahan kita mendapat pencerahan dari perangkap kejahatan sikafir British & USA.

Penjajahan Mental dan Fizikal

Penjajahan pada mulanya adalah berbentuk fizikal dengan melakukan kekerasan kepada penduduk tempatan yang mana mereka mengerahkan kekuatan untuk membunuh dan merompak kekayaan yang ada. Negara penjajah ini tidak membawa apa-apa ideologi kecuali agama Kristian sahaja yang mereka anuti sebagai agama ritual semata-mata. Barangkali gambaran yang paling tepat bagi keserakahan Eropah adalah seperti yang digambarkan oleh sejarawan Amerika, Dagobert Runes, yang berkata,

“Penjajah-penjajah pada abad ke 15, 16 dan 17 menamakan diri sebagai pembawa berita gembira (Missionary) dan penjelajah, sebenarnya adalah perompak-perompak buas dan serakah yang menggunakan bendera salib pada haluan kapal serta tengkorak orang kulit hitam di atas tiang kapal. Para penjajah abad ke-18 dan 19 adalah pemburu hamba sahaya dan cita-citanya adalah untuk menyedut kekayaan dan berlumba-lumba memperolehi pasaran baru, mineral baru, ladang baru dengan cara yang tidak berperikemanusiaan” (Crosscut Through History, ms 111).

Setelah Revolusi Perancis, perubahan paradigma telah berlaku di sana dan ini meletakkan Barat maju selangkah kehadapan di dunia. Peningkatan taraf berfikir mereka ini telah mencetuskan Revolusi Perusahaan dalam permulaan abad ke 19, dan seterusnya telah membawa Barat ke satu ideologi yang mereka anuti, untuk mengembangkan cita-cita dan pengaruhnya. Penjajahan fizikal dan mental telah diterapkan di tanah-tanah jajahan mereka. Jevons mengungkapkan tentang dominasi British pada tahun 1865, katanya,

Tanah pamah Amerika Utara dan Russia telah menjadi ladang jangung kita, Chicago dan Odessa ialah jelapang bijirin kita, Kanada dan Baltik hutan kita, Australia mengandungi kawasan ternakan biri-biri kita, Aregentina dan di bahagian Barat Prairie Amerika Utara terdapat kumpulan kerbau kepunyaan kita, Peru mengirim peraknya, dan emas dari Afrika Selatan dan Australia mengalir ke London; orang Hindu dan Cina menanam teh untuk kita, sementara kopi, gula dan ladang rempah kita kesemuanya berada di kepualauan Hindia. Sepanyol dan Perancis merupakan ladang anggur kita, dan Mediterrenean menjadi dusun buah-buahan kita, dan ladang kapas kita, yang selama ini berada di Amerika Selatan, kini diluaskan di mana-mana jua rantau dunia” (Paul Kennedy, Kebangkitan dan Kejatuhan Kuasa-Kuasa Besar, ms 200).

Penyebaran agama Kristian tidak penting lagi bagi mereka. Yang paling penting ialah Ideologi Kapitalis. Di negara kita sebagai contohnya, umat Islam dibenarkan bersembahyang, membina masjid tetapi doktrin sekular ditanamkan iaitu urusan politik mesti dipisahkan dari agama. Juga ditanamkan kepada kita bahawa British ini baik. Mereka datang ke sini untuk mengajar kita cara memerintah negara Moden. Penjajahan mental sebegini dapat melahirkan generasi yang berketururnan tempatan tetapi berfikiran Barat. Nampaknya British adalah antara negara yang paling berjaya dengan kaedah ini, sehingga sekarang negara di bawah jajahan British masih menyayangi bekas tuan mereka ini. Buktinya dapat kita saksikan melalui sokongan dan penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh negara-negara bekas jajahannya yang digelar sebagai Negara-negara Komanwel.

Manipulasi Istilah Kemerdekaan

Jikalau umat Islam mengkaji sejarah dengan teliti dan mendalam, nescaya mereka tidak akan tertipu dengan slogan kemerdekaan yang dilaungkan oleh British. Penipuan ini dapat dilihat dalam beberapa peristiwa :-

i) British menggunakan laungan Kemerdekaan untuk menjatuhkan Khilafah diTurki.

ii) Peristiwa Kemerdekaan Balkan untuk melemahkan Daulah Islamiah.

iii) Kemerdekaan untuk melawan serangan Sosialis.

iv) Kemerdekaan oleh AS untuk menghancurkan pengaruh British dan sebaliknya.

Umat Islam adalah umat yang satu. Pada masa Inggeris dan Perancis ingin menghancurkan Daulah Islamiah, mereka telah memecahkan kesatuan mereka dengan usaha divide and rule (pecah dan perintah) yang dilakukan oleh British selepas Perang Dunia Pertama ke atas negara Khilafah. British menggunakanasionalisme dan chauvanisme patriotik yang ditanamkan ke dalam minda kaum Muslimin sebelumnya. T E Lawrence merupakan salah seorang dari agen mereka. Pada kesempatan ini, British membangkitkan idea kemerdekaan bangsa Turki. Umat Islam Turki tertipu dengan slogan ini. Mereka merasakan Khilafah adalah penjajah, lantas mereka melaungkan kemerdekaan dari Khilafah, yang akhirnya melahirkan sebuah negara kebangsaan baru Turki. Setelah Khilafah berjaya digulingkan secara rasminya oleh Mustafa Kamal Laknatullah.

Eropah menjajakan idea kemerdekaan untuk melemahkan negara Islam. Semasa Daulah Islamiah melawan dominasi Eropah di Balkan pada abad ke 19, negara Eropah banyak melakukan aktiviti politik untuk melawan aktiviti ketenteraan Daulah Uthmaniah. Walaupun mereka juga menggunakan kententeraan, tetapi sekadar untuk menyokong aktiviti politik mereka. Kes di Balkan, negara Barat menyatakan bahawa Balkan mesti merdeka dari kekuasaan Uthmaniah walhal Eropah tidak berniat langsung untuk melakukan konfrontasi dengan Daulah Islamiah kerana mereka tahu, aktiviti fizikal ini kurang menguntungkan mereka. Namun demikian, mereka tetap memprovokasi dan menghasut, sehingga berlaku pemberontakan di Balkan. Mereka menjajakan idea kemerdekaan dan kebangsaan kepada rakyat tempatan di sana. Harapan Barat nanti apabila Khilafah Uthmaniah terlibat langsung dengan aktiviti ketenteraan di sana, Negara akan menjadi semakin lemah. Agak menyedihkan, Daulah Utmaniah menghantar tentera untuk memadam gerakan pemberontakan di sana, malangnya tentera-tentera ini telah dikalahkan oleh pemberontak. Dalam kes ini kita dapat melihat betapa liciknya Eropah terutamanya British memainkan slogan kemerdekaan untuk membunuh musuh politik mereka.

Kemerdekaan juga digunakan oleh Amerika dan Eropah sebagai topeng untuk melawan Sosialis. Dalam pada itu, Amerika yang menjadi semakin licik dalam aktiviti politiknya telah menggunakan kemerdekaan untuk membebaskan wilayah yang berada di bawah pengaruh British iaitu saingan politiknya yang utama pada masa itu. Hal ini dapat diterangkan seperti berikut: pada penghujung Perang Dunia Kedua telah timbul kesimpulan yang jelas kepada orang-orang yang memahami percaturan politik dunia iaitu pejajahan mesti dihapuskan lantaran serangan Rusia ke atas sistem Kapitalis yang mereka nyatakan sebagai “puncak tertinggi Kapitalis adalah penjajahan”. Rusia telah memulakan serangan kepada sistem Kapitalis dan imperialisma Barat, memotivasikan penduduk tempatan untuk menggerakkan revolusi menentang penjajah dan merancang berbagai peristiwa yang cukup melemahkan Barat. Amerika sebagai sebuah negara Kapitalis merasakan ancaman tersebut, juga merasakan taktik strategi penjajahan perlu diubah kepada gaya baru (neo-Imperealisme). Hal ini dinyatakan oleh John Foster Dulles, Menteri Luar AS dalam bukunya Perang atau Damai (dalam bab Evolusi Imperialisma Sebagai Tindakan Alternatif Terhadap Pemberontakan Yang Keras dan Kejam) iaitu,

“Sesungguhnya keadaan penjajahan Barat itu selalu diamati secara terus menerus oleh pemimpin Soviet, sebagai satu titik fokus. Di mana pada titik itu Soviet boleh melancarkan pukulan yang mematikan. Ujar beliau lagi, Pada waktu menjelang berakhirnya perang Dunia kedua, satu-satunya situasi politik yang mendapat perhatian yang serius iaitu keadaan politik daerah-daerah jajahan. Kalau negara-negara Barat berusaha mempertahankan daerah-daerah jajahan seperti dengan teknik-teknik yang sedia ada, maka yang pastinya bakal muncul pemberontakan bersenjata dan Barat akan mengalami kekalahan. Maka satu-satunya strategi yang mungkin berhasil adalah dengan cara damai memberikan KEMERDEKAAN yang terhormat kepada 700 juta jiwa manusia yang berada di bawah kekuasaan penjajahan Barat”.

Amerika menerima-pakai idea ini, kemudian mereka mula memerdekakan negara-negara di bawah jajahan mereka. Caranya ialah dengan menyediakan pakej hutang luar negara kononnya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, yang sebenarnya satu alat untuk neo-imperealisma. British juga melakukan hal yang sama, diikuti oleh Perancis, Jerman dan lain-lain negara penjajah lagi. Amerika menggunakan sloganKEMERDEKAAN sebagai serampang dua mata, bukan sahaja untuk mempertahankanKapitalis dari serangan Sosialis malahan digunakan untuk menghancurkan dominasi British ke atas negara bekas jajahannya

Tujuan Amerika melontarkan perancangan tersebut adalah untuk mengusir negara-negara imperialis seperti British, Perancis, Belanda, Belgium, di Asia dan Afrika. Kemudian dialah yang mengambilalih kedudukan tersebut. Umat Islam telah dijadikan hamba bagi kepentingan Amerika dengan cara yang licik tanpa disedari bahawa usaha membebaskan diri dari imperialisme sesungguhnya tidak lain adalah melancarkan senario Amerika dalam persaingan antara imperialis. Amerikalah yang merancang Revolusi Algeria dengan terlebih dahulu mempersiapkan agen-agennya untuk dilantik sebagai pemimpin dan dipuja sebagai pahlawan terbilang, contohnya Ahmad bin Billah. Amerika juga yang mendorong Mesir dan negara-negara Arab lain untuk menyokong revolusi itu. Akibat senario tersebut, banyak negara-negara penjajah mula meninggalkan tanah jajahannya.

Namun bagi British dengan segudang pengalaman, sebelum meninggalkan tanah-tanah jajahannya, ia terlebih dahulu ‘menempatkan’ kakitangan di daerah-daerah jajahannya itu yang kelak akan mendahulukan kepentingannya daripada kepentingan masyarakat di negara-negara tersebut. Kemerdekaan yang diberikan sesungguhnya adalah membiarkan kekuatan ekonominya menguasai dan mempengaruhi urusan dalam negeri tersebut. Ini adalah bentuk campur tangan langsung tetapi halus terasa.

Itulah cara-cara yang digunakan oleh British, antara lain melalui sektor perindustrian gergasi, menggunakan pengaruh orang-orang kaya di negeri tersebut, pedagang-pedagang, tokoh ‘keparat’ dan sebagainya. Inilah yang menyebabkan British begitu mudah memberikan kemerdekaan kepada jajahannya. Dalam waktu singkat, muncullah banyak negara merdeka seperti Zanzibar, Rhodesia Utara dan Selatan dan seterusnya.

Perancis pada awalnya enggan berbuat demikian. Hanya setelah Charles de Gaulle, Presiden Perancis pada masa itu, melihat situasi dunia yang begitu cepat berubah, akhirnya mengikut jejak langkah British. Maka lahirlah negara-negara baru merdeka di Afrika, seperti Maghribi, Tunisia, Algeria, Senegal, Gabon dan lain-lain lagi. Sedangkan Belgium, yang menjajah Congo mempunyai kekayaan alam yang amat luar biasa terutamanya uranium di wilayah Katingga tidak dimerdekakan begitu sahaja, memandangkan British menguasai galian tersebut dan jika dimerdekakan, pengaruh British akan bertambah kuat. Apabila AS dan Belgium mengumumkankemerdekaan untuk membunuh pengaruh British, Tchoumby, seorang ejen British di sana mengisytiharkan kemerdekaan kepada Katingga. Amerika membawa kes ini ke PBB, yang mana didominasi oleh Amerika, kemudian PBB menghantar Setiausaha Agongnya pada masa itu, Dag Hjalmar Hammarskjold (Jerman Barat), ke Congo. Malangnya Setiausaha Agong ini mati dalam nahas kapalterbang dalam perjalanannya menuju ke daerah yang kini di sebut sebagai Zambia. Amerika kemudiannya berjaya mengusir Tchoumby, dan menguasai Congo.

Berikutan kejadian ini, British lalu merasa khuatir kalau-kalau daerah Kesatuan Rhodesia Utara dan Selatan serta daerah Nyassland (Malawi, Maladewa) akan mengalami nasib yang serupa. Oleh kerana itu, ia terburu-buru memerdekakan daerah-daerah tersebut dengan terlebih dahulu memecah-mecahkannya menjadikan Rhodesia Utara berubah menjadi Zambia, sedangkan Rhodesia Selatan tetap bernama Rhodesia Selatan dan Nyassland menjadi Malawi (Maladewa). Sehingga sekarang Rhodesia Selatan masih dikuasai British meskipun Amerika terus berusaha menggulingkannya.

Pandangan Islam Tentang Kemerdekaan.

Satu ungkapan yang menarik dari Rabi bin Amir semasa menjumpai Rustum iaitu Ketua Panglima Perang Parsi, beliau berkata,

“Allah Swt mengutus kami untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan makhluk kepada penyembahan Allah SWT, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam”.

Al-Mughirah bin Syu’bah jugaberkata,

“Agama ini telah membebaskan dari penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah”.

Inilah kemerdekaan yang sebenar iaitu kembalinya Umat Islam ke pangkuan Sistem Islam sepenuhnya, bukannya megabdikan diri kepada sistem buatan manusia, perlembagaan Kufur dan dasar-dasar kufur. Secara fizikalnya kita nampak umat Islam merdeka dari kafir tetapi sebenarnya pemikiran mereka masih lagi dijajah. Oleh itu, umat ini memerlukan kemerdekaan pemikiran. Setelah itu, barulahkemerdekaan sebenar dapat dicapai.

Dilihat dari segi pemikiran, umat Islam di Malaysia ini masih lagi dijajah dari segi pemikiran. Pemikiran tentang asobiyyah, patriotisme dan pemikiran sekular masih lagi bermaharajalela. Manakala dari segi fizikal pula, kita dijajah oleh sistem perundangan kufur. Sebagai contoh, lihat sahaja kepada perlembagaan perkara 4(1) yang menerangkan.

Perkara 4(1) itu memperuntukkan "Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu."

Kesimpulan

Dengan demikian, adalah jelas bahawa negara Malaysia sebenarnya hanya merdeka dari pemerintahan “orang” British atau dengan kata lain tidak ada “orang-orang” British yang memerintah atau berada dalam kabinet Malaysia TETAPI dari segi sistem (nizham) pemerintahan, Malaysia boleh dikatakan seratus peratus menerapkan Sistem Pemerintahan British/Barat yang berteraskan Sekularisme. Jadi, untuk memerdekakan umat ini, kita memerlukan perubahan sistem pemerintahan iaitu kepada Sistem Pemerintahan Khilafah sebagaimana yang diperintahkan oleh Islam.

FIRMAN ALLAH YANG BERMAKSUD

”Dan tidaklah layak bagi orang Mukmin laki-laki maupun bagi orang Mukmin perempuan, jika Allah dan rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) dalam urusan mereka. Barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat, dengan kesesatan yang nyata.”
(Q.s. al-Ahzab [33]: 36)