Sunday, May 31, 2009

STANDARD KEMENANGAN ISLAM; MUHASABAH DARI SEORANG GURU KEPADA PAS

Cukup terserlah Keghairahan PAS bersama Parti Komponen PR yang lain mengejar kemenangan di Perak sehingga menganjurkan puasa sunat dan mogok lapar selama tiga hari. Mereka yakin bahawa jika dibubarkan Dun di Perak kemenangan adalah milik mereka. Persoalannya benarkah jika Nizar kembali sebagai Menteri Besar merupakan kemenangan Islam? Apa kayu ukur/ parameter/ standard kemenangan Islam?

Dalam demokrasi suara rakyat suara keramat. Bagi pengamal demokrasi, pemanfaat demokrasi semestinya kemenangan terletak pada suara majoriti. Jika sesebuah kelompok mampu meyakinkan dan mengambil hati rakyat dengan melontarkan pelbagai janji yang manis serta membongkar tipu helah kelompok lawan maka merekalah yang layak merebut takhta pemerintahan. Oleh itu kelompok yang melawan arus masyarakat akan terpinggir atau mungkin diketepikan rakyat sama ada secara langsung atau tidak.

Pakatan Rakyat (PR) hari ini dilihat semakin relevan kepada rakyat kerana Barisan Nasional (BN) dilihat semakin tipis keyakinan rakyat. Hal ini dapat dilihat apa yang berlaku pada piliharaya Bukit Selambau dan Bukit Gantang di mana kemenangan memihak kepada PR sehingga BN hilang keyakinan sekiranya pilihanraya diadakan semula di Perak. Sungguhpun begitu BN mempunyai kuasa pemerintahan dan kroni serta mereka yang mempunyai sensitiviti Melayu yang mampu menguatkan sokongan kepada BN untuk terus memerintah. Namun walauapapun yang mereka ceritakan atau diisukan, apa yang pasti baik pembangkang mahupun pemerintah kedua-duanya mengejar suara majoriti kerana itulah standard kemenangan mereka. Pemahaman standard inilah membuatkan PR di Perak terutama PAS begitu ghairah mengejar kemenangan kerana mereka yakin memperolehi suara majoriti daripada rakyat melalui pilihanraya semula.

Saya ingin bertanya kepada semua pimpinan dan penyokong PAS, benarkah meraih undian yang tinggi adalah kemenangan Islam? Layakkah dikatakan kejayaan islam jika Nizar kembali berjawat sebagai Menteri Besar Perak? Sebagai muslim hukum asal perbuatan adalah terikat dengan hukum syarak. Maka dari itu standard kemenangan perlu dilihat dari sudut syarak. Perlu diketahui seseorang layak dikatakan muslim bukan kerana senyumnya, pemurahnya mereka, berbudi bahasanya mereka tetapi kerana mereka beraqidah Islam. Kerana syarak menetapkan aqidahlah yang akan mendudukan Islam atau kufur seseorang. Bagaimana sebuah Negara itu distatuskan sebagai negara islam? Adakah cukup sekadar pemimpinnya Islam dan rakyatnya majoriti islam? Jika benar itu sebabnya mengapa Negara Madinah yang dibangun oleh Rasulullah dikatakan Negara Islam walaupun jumlah penduduknya tidak majoriti Islam. Adakah sekadar pemimpinnya berserban, senyum kepada rakyat dan bersedekah kepada rakyat miskin dikatakan Negara Islam. jika benar mengapa rasulullah tidak mengiktiraf Habsyah sebagai Negara Islam ketika Raja Najasy membantu kelompok dakwah rasul? Kita harus sedar bahawa status negara islam itu bukan terletak pada urusan individu baik akhlaknya mahupun jumlahnya kerana itu bukan isunya. Yang menjadi pokok penghujahan status Negara Islam itu terletak pada proses pengaturan dalam Negara itu. Apabila proses pengaturannya islami maka layaklah dikatakan Negara Islam. Untuk mewujudkan proses pengaturan islami perlu memenuhi 2 kriteria ini iaitu:

  1. Kekuasaan Mutlak ada ditangan kaum muslimin
  2. Berhukum dengan hukum Islam 100%

Firman Allah swt:

فَاحْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ عَمَّا جَاءكَ مِنَ الْحَقِّ

"Maka putuskanlah perkara di antara mereka dengan apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka (dengan) meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu." (Qs. Al-Maa’idah [5]: 48)

Berasaskan firman ini hukum islam tidak boleh dikompromikan walaupun mengundang desakan masyarakat untuk tidak menerimanya. Ini kerana hukum islam adakalanya tidak bertepatan dengan kehendak rakyat namun tidak bererti tidak tepat dilaksanakan. Tanpa penguasaan yang mutlak mustahil untuk menerapkan hukum Allah walaupun pemimpin dalam Negara itu adalah seorang muslim. Contoh yang berlaku seperti Kes Status anak Muallaf yang melibatkan Mohd Ridzuan atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, asalnya beragama Hindu, tetapi kemudiannya memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anak-anaknya iaitu Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, setahun, kepada agama Islam pada 12 April 2009 dan telah memohon hak penjagaan anak tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh sedangkan isterinya (Indra Gandhi) masih lagi beragama Hindu. Adalah difahamkan pihak isterinya telah memohon bantuan campur tangan kabinet sehingga menyebabkan Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz mengeluarkan kenyataan tersebut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abd Aziz, menyatakan bahawa apabila salah seorang daripada suami isteri berkenaan memeluk Islam, maka anak tersebut hendaklah dibesarkan mengikut agama lazim / asal (common religion) pada waktu perkahwinan berkenaan. Tindakan ini jelas bertentangan dengan hukum Allah. Mengapa mereka sanggup menggadaikan hukum Allah dan bertindak selain hukum Allah? Hal ini tercetus disebabkan kekhuatiran pemerintah meraih undi dari non-muslim kerana undian non-muslim mempengaruhi kedudukannya sebagai pemerintah. Pemerintah tidak ada kekuasaan mutlak.

Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa adalah satu kemustahilan untuk menerapkan atau melaksanakan hukum Allah 100% tanpa kekuasaan mutlak ditangan kaum muslimin. Rasulullah dikala dakwah menyeru kepada para ketua kabilah kepada kekuasaan mutlak melalui tholabun nusroh, baginda menghadapi banyak halangan antaranya berhadapan dengan pemuka kabilah yang pengecut memandangkan pembesar quraisy mengisytiharkan musuh mereka kepada mana-mana kabilah yang menerima tawaran rasulullah. Walaupun terdapat beberapa kabilah yang membuka ruang kepada rasulullah untuk memerintah namun mereka gagal mengurniakan kekuasaan mutlak dan rasulullah menolak tawaran ini. Akhirnya beliau memperoleh tholabun nusroh dari Aus an khazrah dimana ketika bai’at aqobah yang ke 2 beliau memohon kekuasaan mutlak untuk menerapkan hukum Allah dan seluruh yang hadir ketika itu memahami maksud rasulullah dan terus bersedia menerima rasulullah sebagai kepala Negara dan siap bertaruh nyawa untuk bersama-sama dengan rasulullah menerapkan hukum Allah dimuka bumi. Keadaan inilah bermula terciptanya kemenangan Islam di mana hukum Allah berjaya diterapkan di Madinah. Setelah itu sebelum kewafatan rasulullah dakwah rasul berjaya dikembangkan keseluruh jazirah arab di mana seluruh jazirah berhukum dengan hukum Allah. Setelah itu para khalifah rasulullah menyambung tugas yang berat ini membawa misi penyebaran dan penerapan hukum Islam di kawasan yang lain sehingga 2/3 dunia dapat diterapkan hukum Allah. Inilah standard kemenangan Islam apabila hukum berjaya diterapkan.

Maka dari itu wahai pimpinan dan penyokong PAS benarkah meraih undi sebanyaknya dikatakan kemenangan Islam? benarkah undian yang banyak mampu menghadirkan kekuasaan mutlak berada ditangan kaum muslimin? Jika tidak, layakkah kemenangan anda dikatakan kemenangan islam?

Thursday, May 14, 2009

MASALAH MAT REMPIT; BUKAN ISU JALAN RAYA, BUKAN ISU CUACA DAN BUKAN ISU MOTOSIKAL TETAPI MASALAH MANUSIA YANG TIDAK ADA KESEDARAN YANG BENAR

GEJALA mat rempit hanya wujud di Malaysia, malah tiada sebarang jurnal antarabangsa yang pernah melaporkan masalah itu kecuali di negara ini.

Pakar pengangkutan awam yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, berkata ini disebabkan beberapa faktor termasuk penggunaan motosikal sebagai pengangkutan utama di Malaysia berbanding negara asing.

"Di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia misalnya, ramai berkereta atau menggunakan kenderaan awam ke tempat kerja. Tidak ramai yang bermotosikal. Malah jika ada motosikal pun, mereka menggunakan motosikal berkuasa tinggi.

"Keadaan sebaliknya di sini kerana ramai bermotosikal. Malah lebih ramai daripada yang berkereta. Jadi wujudlah kelompok atau kumpulan tersendiri seperti mat rempit sama ada di luar bandar dan bandar. Merempit itu sudah menjadi satu budaya di kalangan pemilik motosikal ini," katanya.

Prof Abdul Rahim berkata, di luar negara, jika ada pun, hanyalah lumba kereta haram dan bukannya motosikal.

"Hanya ada beberapa negara yang melaporkan kejadian lumba kereta haram seperti Australia, New Zealand, Amerika, United Kingdom, Sweden, Croatia, Jepun, dan Hong Kong. Bagaimanapun, perlu diingat, keadaan di luar negara terkawal, tidak seperti Malaysia yang hampir setiap malam ada saja kejadian merempit." katanya.

Beliau turut mengaitkan gejala mat rempit itu dengan faktor cuaca. Di Malaysia, cuacanya sama sepanjang tahun, manakala di luar negara cuacanya empat musim.

"Apa yang pasti, tiada siapa pun yang mahu bermotosikal ketika musim sejuk." katanya.

sumber www.bharian.com.my

KOMEN

Isu mat rempit, isu yang seolah-oleh tiada nokhtahnya. Bermula dengan panggilan geng lumba haram sehingga istilah mat rempit tidak habis-habis dikupas dan dicadangkan solusinya. Masalah semakin hari, semakin rumit. Mat rempit bukan saje mengganas sebagai pelumba haram malah menganggu ketenteraman awam yang bukan saje bunyi motornya premmmmmm....!!! Tetapi meragut, merogol, ketagih dadah dan mencederakan orang awam yang mungkin dikenali atau tidak oleh siperempit itu. Dimanakah penghujungnya??? Yang pastinya ramai yang bigung...tidak kiralah dikalangan pemimpin, cerdik pandai mahupun masyarakat secara umumnya. Bagi yang memikirkannya seolah-oleh diambil tahu apa gunanya tidak dihiraukan buruk padahnya. Bak kata pepatah hidup segan mati tak mahu.

Bagi pelayan mat rempit sebagai isu jalan raya semestinya diperketatkan undang-undang trafik; dikuatkuasakan undang-undang penunggang motosikal dengan mengadakan sekatan jalan raya. Apa berlaku si rempit beramai-ramai lari ke jalan yang tiada sekatan atau mungkin meredah sekatan sebagai cabaran dengan mencelok-celok sekatan yang ada. Bagi yang berjaya menjadi cerita kebanggaan mereka untuk terus menyahut cabaran dan yang tewas menjadi pengalaman atau pengajaran untuk mencuba lagi. Apa yang pasti undang-undang trafik hanya tinggal sebagai undang-undang yang hanya menambahkan beban polis-polis trafik atau JPJ tanpa dipedulikan oleh perempit-perempit.

sementara pelayan mat rempit sebagai isu cuaca malaysia yang beriklim sederhana menjadi faktor perempit memanfaatkannya samalah seperti menyalahkan pisau kerana seseorang itu membunuh. Mana mungkin seorang manusia berkuasa mengubah iklim yang ada. Adakah perlu berdoa agar keadaaan bertukar menjadi salji atau padang pasir? Atau mungkin agar iklim sentiasa disetai ribut dan petir? Menyalahkan keadaan yang ditetapkan Allah sama seperti menyalahkan Allah. Apa yang pasti Allah tidak menqadarkan(ketetapan) sesuatu sehingga memaksa manusia melakukan sesuatu sama ada baik dan buruk. Manusia itulah sendiri yang akan menentukan sama ada memanfaatkan kearah yang baik atau buruk tanpa ada paksaan dari Allah.

Bagi yang berfikir isu mat rempit dilayan sebagai isu motosikal, mungkin didalam benak mereka yang kononnya positif dibina litar perlumbaan untuk sirempit melepaskan gian rempitnya sehabis-habisnya, bagi negatif dihancurkan atau dirampas motosikal-motosikal sirempit atau mengharamkan penggunaan motosikal. Memang benar mat rempit amat gemar mengubah spesifikasi motosikalnya mengikut kemahuan dan kepuasannya sebagai contoh ekzos motosikalnya diubah kepada bunyi bising kemudian dipamerkan ditempat-tempat publik dengan aksi-aksi yang kononnya ’gentle’ sehingga mengudang maki-hamun dikalangan pendengarnya. Jika benar ia berpunca dari motosikalnya mengapa kejadian yang sama di negara yang kurang penggunaan motosikal seperti Australia, New Zealand, Amerika, United Kingdom, Sweden, Croatia, Jepun, dan Hong Kong berlaku lumba kereta haram? Kedua-dua masalah ini sama bezanya cuma kenderaan. Berbicara masalah mat rempit bukanlah berbicara masalah motosikal kerana motosikal tetap motosikal yang akan bersalah apabila dimanfaatkan kearah yang salah dan begitulah sebaliknya.

Perlu disedari bahawa Menagani isu mat rempit bukanlah melayan isu jalan raya, bukanlah melayan isu cuaca sejuk dan panas dan bukan pula melayan isu motosikal tetapi isu disini adalah masalah yang timbul daripada manusia yang tiada kesedaran hidup yang benar yang sentiasa ingin memuaskan perasaan mereka tanpa kendali sebagai manusiawi.

Mengapa Munculnya Belia yang tiada kesedaran hidup yang benar?

Munculnya pemuda-pemudi yang tidak ada kesedaran yang jelas kerana kegagalan polisi pendidikan di negara ini yang bersifat sekular di mana menjurus kepada proses pembentukan tenaga kerja bukan sahsiah pelajar. Melangkahnya seseorang individu ke alam persekolahan tertanam dalam benak mereka meraih sijil yang akan dimanfaatkan untuk pekerjaan. Maka tidak hairan apabila ada guru berkata; ” Mat, kau tak belajar bersungguh-sungguh nanti kau nak makan apa? ”, ” Aminah kalau mahu jadi Doktor skor 10 A1”. Subjek Islam tidak lebih hanyalah sebatas pengetahuan yang bersifat akademik adapun yang praktikal sebatas solat dan bersuci. Subjek sains dipelajari bukan diatas tuntutan sebagai kewajiban melainkan dorongan materialistik. Bagi pelajar cerdas yang mampu menunjukkan prestasi banyaknya ’A’ akan dipandang sebagai pelajar yang baik sekalipun tidak menunujukkan akhlak yang sejajar dengan tuntutan syara’ contohnya mereka bercouple. Pelajar yang lembab dan tidak berkeupayaan skor ’A’ sekalipun berakhlak sejajar dengan tuntutan syara’ tidak menonjol dan dipandang sebagai pelajar contoh. Aktiviti Kokurikulum dilaksanakan tanpa lagi menitik beratkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan pakaian sukan yang tidak menutup aurat. Suasana atau motivasi yang terbentuk tidak lain hanyalah materialistik. Halal dan haram tidak lagi menjadi pokok perbuatan mereka melainkan manfaat yang akan diperolehi dalam setiap perkara yang dilakukan. Dosa dan pahala bukan lagi perkara yang perlu diperhitungkan melainkan kepuasan dan keseronokan yang akan diperolehi.

Keadaan ini dikeruhkan lagi dengan prinsip kebebasan yang diagung-agungkan dalam sistem demokrasi. Seseorang bebas melakukan apa sahaja selagi tidak mengganggu orang lain. Budaya ini melahirkan ungkapan ” jangan jaga tepi kain orang”, ” kubur lain-lain” , ”usah ambil tahu hal orang lain diri sendiri lebih penting”. semua ini membuatkan masyarakat jauh dari melaksanakan dakwah walhal dakwah merupakan sebuah kewajipan yang tidak ada bezanya dengan kewajipan solat. Apabila ingat-mengingati dan berpesan-pesan untuk tidak lalai dari perintah Allah dilalaikan maka lahir individu yang tidak ada kesedaran yang benar yang sentiasa lalai dari memperingati Allah dan hidup hanyalah semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu. Kecederungan dalam masyarakat lebih kepada budaya hegemoni dan manfaat yang dari itu tidak hairanlah lahirnya filem-filem dan drama-drama di televisyen yang mungkin manhangatkan pengaruh yang tidak memberi makna kepada masyrakat mahupun individu kerana apa yang penting dalam penghasilan filem adalah sambutan yang mampu memberi keuntungan. Justeru lahir golongan pecinta Mat Rempit yang bercambah dari hari ke hari, dari bulan ke bulan dan dari tahun ketahun sehingga tidak lagi terkawal.

Penyelesaian

Apa yang perlu untuk mengubah masalah rempit ini tidak lain melainkan menumbuhkan kesedaran yang benar dikalangan pemuda-pemudi yang hanya mampu dicapai dengan mendidik setiap individu dengan thaqofah Islam sehingga terbentuknya sahsiah Islam yang pasti melahirkan individu yang bertanggungjawab pada diri mereka sekaligus masyarakat dan negara. Perlaksaaan adalah suatu kemustahilan jika hanya individu dan masyarakat sahaja membudayakan thaqofah islam melainkan disertai oleh negara dengan menerapkan hukum Allah secara keseluruhan. firman Allah:

إِنَّ اللهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka" (Ar-Ra'd 11).

Wallahua’lam.

Wednesday, May 13, 2009

UNDANG-UNDANG HANYA LAYAK DATANG DARIPADA ALLAH BUKAN MANUSIA


Kemenangan kepada rakyat, sistem demokrasi: Anwar

SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin Menteri Besar Perak yang sah sebagai kemenangan kepada rakyat dan sistem demokrasi di negara ini.

Beliau berkata, keputusan itu membuktikan
Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi dalam negara ini dan semua institusi kerajaan wajar menghormati segala yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Ini termasuklah sistem pengasingan kuasa yang secara jelas menggariskan pengasingan di antara kuasa eksekutif, kehakiman dan juga perundangan.

sumber sinarharian.com.my

Komen 

Pernyataan ketua pembangkang “Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi…” merupakan pernyataan yang aneh dan asing sebagai seorang muslim kerana rasulullah s.a.w bersabda:

"Al-Islamu ya'lu wa laa yu'la 'alaihi"

Islam itu tinggi dan tiada yang dapat menandingi ketinggiannya

 

Beliau mengiktiraf Perlembagaan Negara yang tidak menjadikan Al-quran dan As-sunnah sebagai sumber melainkan bersumber dari benak Suruhanjaya Reid yang dianggotai oleh:

1. Lord William Reid 

2. Sir Ivor jennings 

3. Justice Abdul Hamid of Pakistan

4. Sir William McKell (Australia) 

5. Hakim B. Malik of India

Suruhanjaya reid merupakan sebuah suruhanjaya bebas yang ditubuhkan pada Mac 1956 dan berperanan merangka Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu sebelum Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 31 Ogos 1957. Suruhanjaya ini telah dinamakan sempena nama pengerusinya iaitu seorang hakim Mahkamah Rayuan England, Lord William Reid.

Apa yang pasti berhukum dengan undang-undang ciptaan manusia samalah seperti menyembah manusia yang membuat undang-undang tersebut kerana Allah swt berfirman:

"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah(menyembah)  kepada-Ku."(Surah az-Zariyat: ayat 56).

Para ulama' muktabar telah menghuraikan pengertian ibadah itu dengan panjang lebar yang mana perkataan ibadah ada kesempurnaannya dan mempunyai ruang lingkup yang luas, tidak semata-mata terhad kepada fardhu solah, puasa, zakat dan haji semata-mata, bahkan tugas untuk tunduk dan patuh pada perintah dan larangan Allah. Seseorang dikatakan menyembah Allah tidak sebatas rukuk dan sujud bahkan ketika mentaati hukum yang diperintahkan Allah swt.

Hal ini diperteguhkan lagi dengan firman Allah didalam Surah al-Nisa’ ayat 59:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan juga kepada Ulil Amri (Orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikan kepada kitab Allah (al-Qur’an) dan (sunnah) RasulNYa jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.

Ada dua perkara yang sangat penting dari ayat di atas iaitu tuntutan membangunkan sebuah Pemerintahan Islam iaitu khilafah. Ibn Kathir, seorang ulama tafsir yang muktabar menyatakan ayat ini diturunkan kepada para pemimpin yang berkuasa agar mereka menunaikan kewajiban dengan adil dan amanah. Al-Alusi seorang lagi ahli tafsir muktabar menerangkan tentang amanah, iaitu amanah yang merangkumi hak terhadap Allah dan hak terhadap sesama makhluk. Manakala Ibn Abbas, Ibn Mas’ud, Al-Barra’, Ibn ‘Azib dan majoriti ulama menyatakan berdasarkan ayat-ayat ini, para pemimpin wajib melaksanakan kewajipan agama dan syariat. Jika dicermati secara teliti dan jernih Uli Amri(pemimpin) yang hanya wajib ditaati adalah pemimpin yang berhukum dengan hukum Allah. Undang-undang hanya layak datang daripada Allah bukan dari manusia. Firman Allah:

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?” (QS. al-Maidah :50)

 

Wallahua’lam

Tuesday, May 12, 2009

PEMUDA-PEMUDI; AGEN PERUBAHAN DUNIA SEBUAH KENESCAYAAN

Pemuda dan pemudi hari ini mereka dibesarkan dalam ruang lingkup sekularisme. mereka diasuh berfikir dan berbudaya sekular yang cenderung memandu mereka menghabiskan usia mudanya dengan perkara-perkara hegemoni. Pada anggapan mereka adalah satu kerugian jika tidak memanfaatkan usia mudanya dengan dunia hiburan, berfoya-foya dan ’cinta monyet’. Bagi kebanyakkan mereka melibatkan diri dalam perkara-perkara Islam harus difikirkan terkemudian kerana mati hanya untuk orang-orang yang dah lanjut usianya. Walhal mati tidak mengenal usia. Pemuda-pemudi yang mempunyai kesedaran mereka sering berasa terasing sehingga diistilahkan sebagai budak skema, budak sivik, budak pengecut dan lain-lain. Kerana terlalu disibukkan dengan majalah-majalah hiburan seperti URTV, Mangga dan Komik-komik yang mengkhayalkan, mereka lupa dan tidak tahu bahawa kutlah(kelompok) perintis Islam dimuka bumi bersama-sama rasulullah kebanyakkan terdiri daripada pemuda sebagaimana dibawah;

BIL

NAMA

UMUR

1

Ali bin Abi Thalib

8 tahun

2

Zubair bin al-Awwam

8 tahun

3

Thalhah bin 'Ubaidillah

11 tahun

4

Arqam bin Abi al-Arqam

12 tahun

5

Abdullah bin Mas'ud

14 tahun

6

Said bin Zaid

20 tahun

7

Sa'ad bin Abi Waqash

17 tahun

8

Mas'ud bin Rabi'ah

17 tahun

9

Ja'far bin Abi Thalib

12 tahun

10

Shuhaib ar-Rumi (orang Romawi)

20 tahun

11

Zaid bin Haritsah

20 tahun

12

'Utsman bin Affan

20 tahun

13

Thalib bin 'Umair

20 tahun

14

Khabab bin al­Arat

20 tahun

15

Amir bin Fuhirah

23 tahun

16

Mush'ab bin 'Umair

24 tahun

17

Miqdad bin al-Aswad

24 tahun

18

Abdullah bin Jahsy

25 tahun

19

'Umar bin Khaththab

26 tahun

20

Abu 'Ubaidah bin Jarrah

27 tahun

21

'Utbah bin Ghazwan

27 tahun

22

Abu Hudzaifah bin 'Utbah

30 tahun

23

Bilal bin Rabah

30 tahun

24

'Iyasy bin Rabi'ah

30 tahun

25

Amir bin Rabi'ah

30 tahun

26

Na'im bin Abdillah

30 tahun

27

'Utsman, Abdullah, Qudamah, dan as-Saib

(semuanya anak-anak Mazh'un bin Habib)

 

masing-masing berusia 30, 17, 17, dan 20 tahun,

28

Abu Salamah Abdullah bin Abd al-Asad al-Makhzumiy

30 tahun

29

Abdurrahman bin Auf

30 tahun

30

Ammar bin Yasir

30 ~ 40 tahun

31

Abu Bakar Shiddiq

37 tahun

32

Hamzah bin Abd al-Muththallib

42 tahun

33

'Ubaidah bin al­Harits

50 tahun

34

Terdapat beberapa perempuan yang beriman

?










































Pemuda-pemudi harus sedar bahawa ditangan mereka terletak kuasa atau potensi sebagai agen perubahan dunia sekaligus mengembalikan kehidupan dan kegemilangan Islam. apa yang perlu hanyalah mereka mengerahkan potensi mereka ke dalam kelompok yang memartabatkan Islam dengan mendekatkan diri kepada thaqofah Islam. Adakah anda tidak percaya? sekiranya tidak, sejarah Islam telah membuktikannya dan cermati firman Allah di dalam surah An-nuur ayat 55;


Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentausa. mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan aku. dan Barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, Maka mereka Itulah orang-orang yang fasik.


Dunia sedang memanggil kalian seperti jeritan sang singa yang kelaparan kepada sang rusa, wallahualam

FIRMAN ALLAH YANG BERMAKSUD

”Dan tidaklah layak bagi orang Mukmin laki-laki maupun bagi orang Mukmin perempuan, jika Allah dan rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) dalam urusan mereka. Barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat, dengan kesesatan yang nyata.”
(Q.s. al-Ahzab [33]: 36)