Sunday, May 31, 2009

STANDARD KEMENANGAN ISLAM; MUHASABAH DARI SEORANG GURU KEPADA PAS

Cukup terserlah Keghairahan PAS bersama Parti Komponen PR yang lain mengejar kemenangan di Perak sehingga menganjurkan puasa sunat dan mogok lapar selama tiga hari. Mereka yakin bahawa jika dibubarkan Dun di Perak kemenangan adalah milik mereka. Persoalannya benarkah jika Nizar kembali sebagai Menteri Besar merupakan kemenangan Islam? Apa kayu ukur/ parameter/ standard kemenangan Islam?

Dalam demokrasi suara rakyat suara keramat. Bagi pengamal demokrasi, pemanfaat demokrasi semestinya kemenangan terletak pada suara majoriti. Jika sesebuah kelompok mampu meyakinkan dan mengambil hati rakyat dengan melontarkan pelbagai janji yang manis serta membongkar tipu helah kelompok lawan maka merekalah yang layak merebut takhta pemerintahan. Oleh itu kelompok yang melawan arus masyarakat akan terpinggir atau mungkin diketepikan rakyat sama ada secara langsung atau tidak.

Pakatan Rakyat (PR) hari ini dilihat semakin relevan kepada rakyat kerana Barisan Nasional (BN) dilihat semakin tipis keyakinan rakyat. Hal ini dapat dilihat apa yang berlaku pada piliharaya Bukit Selambau dan Bukit Gantang di mana kemenangan memihak kepada PR sehingga BN hilang keyakinan sekiranya pilihanraya diadakan semula di Perak. Sungguhpun begitu BN mempunyai kuasa pemerintahan dan kroni serta mereka yang mempunyai sensitiviti Melayu yang mampu menguatkan sokongan kepada BN untuk terus memerintah. Namun walauapapun yang mereka ceritakan atau diisukan, apa yang pasti baik pembangkang mahupun pemerintah kedua-duanya mengejar suara majoriti kerana itulah standard kemenangan mereka. Pemahaman standard inilah membuatkan PR di Perak terutama PAS begitu ghairah mengejar kemenangan kerana mereka yakin memperolehi suara majoriti daripada rakyat melalui pilihanraya semula.

Saya ingin bertanya kepada semua pimpinan dan penyokong PAS, benarkah meraih undian yang tinggi adalah kemenangan Islam? Layakkah dikatakan kejayaan islam jika Nizar kembali berjawat sebagai Menteri Besar Perak? Sebagai muslim hukum asal perbuatan adalah terikat dengan hukum syarak. Maka dari itu standard kemenangan perlu dilihat dari sudut syarak. Perlu diketahui seseorang layak dikatakan muslim bukan kerana senyumnya, pemurahnya mereka, berbudi bahasanya mereka tetapi kerana mereka beraqidah Islam. Kerana syarak menetapkan aqidahlah yang akan mendudukan Islam atau kufur seseorang. Bagaimana sebuah Negara itu distatuskan sebagai negara islam? Adakah cukup sekadar pemimpinnya Islam dan rakyatnya majoriti islam? Jika benar itu sebabnya mengapa Negara Madinah yang dibangun oleh Rasulullah dikatakan Negara Islam walaupun jumlah penduduknya tidak majoriti Islam. Adakah sekadar pemimpinnya berserban, senyum kepada rakyat dan bersedekah kepada rakyat miskin dikatakan Negara Islam. jika benar mengapa rasulullah tidak mengiktiraf Habsyah sebagai Negara Islam ketika Raja Najasy membantu kelompok dakwah rasul? Kita harus sedar bahawa status negara islam itu bukan terletak pada urusan individu baik akhlaknya mahupun jumlahnya kerana itu bukan isunya. Yang menjadi pokok penghujahan status Negara Islam itu terletak pada proses pengaturan dalam Negara itu. Apabila proses pengaturannya islami maka layaklah dikatakan Negara Islam. Untuk mewujudkan proses pengaturan islami perlu memenuhi 2 kriteria ini iaitu:

  1. Kekuasaan Mutlak ada ditangan kaum muslimin
  2. Berhukum dengan hukum Islam 100%

Firman Allah swt:

فَاحْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ عَمَّا جَاءكَ مِنَ الْحَقِّ

"Maka putuskanlah perkara di antara mereka dengan apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka (dengan) meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu." (Qs. Al-Maa’idah [5]: 48)

Berasaskan firman ini hukum islam tidak boleh dikompromikan walaupun mengundang desakan masyarakat untuk tidak menerimanya. Ini kerana hukum islam adakalanya tidak bertepatan dengan kehendak rakyat namun tidak bererti tidak tepat dilaksanakan. Tanpa penguasaan yang mutlak mustahil untuk menerapkan hukum Allah walaupun pemimpin dalam Negara itu adalah seorang muslim. Contoh yang berlaku seperti Kes Status anak Muallaf yang melibatkan Mohd Ridzuan atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, asalnya beragama Hindu, tetapi kemudiannya memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anak-anaknya iaitu Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, setahun, kepada agama Islam pada 12 April 2009 dan telah memohon hak penjagaan anak tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh sedangkan isterinya (Indra Gandhi) masih lagi beragama Hindu. Adalah difahamkan pihak isterinya telah memohon bantuan campur tangan kabinet sehingga menyebabkan Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz mengeluarkan kenyataan tersebut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abd Aziz, menyatakan bahawa apabila salah seorang daripada suami isteri berkenaan memeluk Islam, maka anak tersebut hendaklah dibesarkan mengikut agama lazim / asal (common religion) pada waktu perkahwinan berkenaan. Tindakan ini jelas bertentangan dengan hukum Allah. Mengapa mereka sanggup menggadaikan hukum Allah dan bertindak selain hukum Allah? Hal ini tercetus disebabkan kekhuatiran pemerintah meraih undi dari non-muslim kerana undian non-muslim mempengaruhi kedudukannya sebagai pemerintah. Pemerintah tidak ada kekuasaan mutlak.

Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa adalah satu kemustahilan untuk menerapkan atau melaksanakan hukum Allah 100% tanpa kekuasaan mutlak ditangan kaum muslimin. Rasulullah dikala dakwah menyeru kepada para ketua kabilah kepada kekuasaan mutlak melalui tholabun nusroh, baginda menghadapi banyak halangan antaranya berhadapan dengan pemuka kabilah yang pengecut memandangkan pembesar quraisy mengisytiharkan musuh mereka kepada mana-mana kabilah yang menerima tawaran rasulullah. Walaupun terdapat beberapa kabilah yang membuka ruang kepada rasulullah untuk memerintah namun mereka gagal mengurniakan kekuasaan mutlak dan rasulullah menolak tawaran ini. Akhirnya beliau memperoleh tholabun nusroh dari Aus an khazrah dimana ketika bai’at aqobah yang ke 2 beliau memohon kekuasaan mutlak untuk menerapkan hukum Allah dan seluruh yang hadir ketika itu memahami maksud rasulullah dan terus bersedia menerima rasulullah sebagai kepala Negara dan siap bertaruh nyawa untuk bersama-sama dengan rasulullah menerapkan hukum Allah dimuka bumi. Keadaan inilah bermula terciptanya kemenangan Islam di mana hukum Allah berjaya diterapkan di Madinah. Setelah itu sebelum kewafatan rasulullah dakwah rasul berjaya dikembangkan keseluruh jazirah arab di mana seluruh jazirah berhukum dengan hukum Allah. Setelah itu para khalifah rasulullah menyambung tugas yang berat ini membawa misi penyebaran dan penerapan hukum Islam di kawasan yang lain sehingga 2/3 dunia dapat diterapkan hukum Allah. Inilah standard kemenangan Islam apabila hukum berjaya diterapkan.

Maka dari itu wahai pimpinan dan penyokong PAS benarkah meraih undi sebanyaknya dikatakan kemenangan Islam? benarkah undian yang banyak mampu menghadirkan kekuasaan mutlak berada ditangan kaum muslimin? Jika tidak, layakkah kemenangan anda dikatakan kemenangan islam?

1 comment:

  1. Maka dari itu wahai pimpinan dan penyokong PAS benarkah meraih undi sebanyaknya dikatakan kemenangan Islam? benarkah undian yang banyak mampu menghadirkan kekuasaan mutlak berada ditangan kaum muslimin? Jika tidak, layakkah kemenangan anda dikatakan kemenangan islam?

    sekurang2nya dgn kemenangan NIzar, maksiat di perak dapat dibendung, cntohnya tak wujud lagi JOM HEBOH, KIlang Arak macam sekarang. kalau kita nak bangunkan ngara islam yang pertama bangunkan islam dalam diri dahulu, kalau diri belem terbangun jauh sekali nak wujudkan sistem khilafah.

    Zamn rasulullah dan para sahabat dah dinyatakan sebagai zaman terbaik dan kurun yang terbaik. dan tiada lagi zamn seleps itu yang terbaik akan muncul lagi.rujuk Hadis.

    ttg definisi NEGARA ISLAM, Imam Mazhab dah senaraikan ciri2 Negara Islam boleh rujuk kitab FIQH Siyasah.

    "Yang menjadi pokok penghujahan status Negara Islam itu terletak pada proses pengaturan dalam Negara itu. Apabila proses pengaturannya islami maka layaklah dikatakan Negara Islam. Untuk mewujudkan proses pengaturan islami perlu memenuhi 2 kriteria ini iaitu:

    1. Kekuasaan Mutlak ada ditangan kaum muslimin
    2. Berhukum dengan hukum Islam 100%"

    mustahil kuasa mutlak di tangan muslimin(konteks Malaysia yang berbilang kaum, kena pertimabangkan secara menyeluruh, jgn jadi peritiwa 13 Mei kembali) sedangkan kerajaan madinah dahulu rasul beri peluang kepada yahudi utk jadi pemimpin khabilah.

    Kalau tak berjuang dalam pilhanraya nak peroleh kuasa bagaimana? tanpa kuasa islam tak dapat ditegakkan kan? Sekarang ni sudah jelas orang bukan islam boleh memahami apa yang diperjuangkan oleh PAS utk tegakkan Islam.

    saudara ada menyebutkan ttg kerajaan islam madinah majoriti bukan islam? kenpa Rasul dapat pimpin? knp? sebab orang bukan islam yakin dgn pemerintahan islam yang adil dan tidak mnindas sesiapa.

    knp kita tidak jelaskan kpd non muslim ttg indahnya sistem islam itu sendiri? sedagkan sudah jelas non muslim di Malaysia dapat menerima PAS. Kelab Penyokong Pas sudah makin ramai ahli.

    sekirangnya dgn pilihanraya dikatakan salah. adakah Gerakan IKhwan Muslimin Di Mesir yang menyertai pilihanraya dikira salah? Sedangkan yang mendukung IKhwan adalah di kalangan Para Ulama?

    ReplyDelete

FIRMAN ALLAH YANG BERMAKSUD

”Dan tidaklah layak bagi orang Mukmin laki-laki maupun bagi orang Mukmin perempuan, jika Allah dan rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) dalam urusan mereka. Barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat, dengan kesesatan yang nyata.”
(Q.s. al-Ahzab [33]: 36)